12 NOV : Semua anggota polis yang bertugas di barisan hadapan diingatkan agar sentiasa bersiap siaga dan tidak teragak-agak bertindak menggunakan senjata api sekiranya berdepan ancaman keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan beliau tidak mahu kejadian petang semalam yang menyebabkan anggota polis putus tangan kanan akibat ditetak suspek berulang.
“Saya tidak mahu kejadian seperti mana yang berlaku di Gombak berlaku terhadap anggota saya di barisan hadapan. Jadi pastikan sedia, mesti tahu (bila nak) keluarkan senjata.
“Keluarkan senjata api sendia untuk tembak sekiranya ada apa-apa halangan…tembak. Ada keraguan…tembak. Ada rasa kerisauan, ada ancaman…tembak. Jangan tunggu,” katanya menerusi klip video dikongsi Facebook Polis KL, hari ini.
Semalam, seorang anggota berpangkat Lans Koperasl berusia 26 tahun putus tangan kanan akibat ditetak warga asing dengan parang di Kepong.
Pada hantaran itu, Facebook Polis KL turut menulis, semua petugas barisan hadapan Kuala Lumpur diminta sentiasa bersiap siaga, peka terhadap situasi dan bertindak pantas dalam menghadapi sebarang ancaman demi memastikan keselamatan anggota serta ketenteraman awam terus terpelihara.
*Foto : Polis KL