31 MAC : Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan bahan api di negara ini mencukupi dan terkawal ditengah-tengah krisis Asia Barat.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik atau menyorok bahan api.
“Bagi menangani kekurangan bekalan domestik, Petronas memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya dan bekerja melalui anak syarikatnya untuk memastikan bekalan petrol dan diesel yang mencukupi,” menurut Petronas dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Petronas memaklumkan langkah itu menyokong penguasaan pasaran yang mencecah hampir 50 peratus sehingga Mei 2026 sementara baki bekalan ditampung syarikat minyak lain yang beroperasi di negara ini.
“Memandangkan tempoh dan tahap sepenuhnya peperangan di Iran kekal tidak menentu, Petronas sangat menyarankan penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh industri dan orang awam.
“Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mengurus sebarang kemungkinan gangguan bekalan serta memastikan keselamatan tenaga negara terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.
Meski Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun tetap tidak terkecuali daripada menerima kesan konflik itu susulan hampir 40 peratus keperluan minyak mentah perlu melalui laluan Selat Hormuz.