3 APR : Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bukan untuk berbaring atau membeli-belah di pasar raya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan setiap pegawai terlibat BDR perlu mengikut peraturan dan mengekalkan produktiviti.
“Jangan salah faham. BDR bukan bermaksud ‘baring duduk rehat’ atau ‘beli-belah di pasar raya’. Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan.
“Output dan produktiviti mesti sama, malah kalau boleh lebih baik daripada kerja di pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI peringkat negeri Selangor, hari ini.
Tegasnya, penjawat awam perlu menunjukan sikap dan teladan kepada rakyat yang bukan sahaja melaksanakan arahan tetapi juga memacu pelaksanaan secara bijaksana.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar penjawat awam di semua peringkat mengamalkan budaya berjimat cermat.
“Di pejabat, sekiranya lampu dan kipas tidak digunakan, matikan. Penggunaan penyaman udara perlu diselaraskan pada suhu yang sesuai. Mesyuarat juga boleh dijalankan secara dalam talian bagi mengurangkan kos perjalanan dan penggunaan kertas.
“Elakkan pembaziran dan jika tiada keperluan mendesak, elakkan pembelian aset mewah untuk kegunaan pejabat kecuali atas faktor keselamatan atau kepentingan awam,” katanya.

Semalam, dalam surat edaran pelaksanaan bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam yang dikeluarkan memaklumkan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dibenarkan BDR jika jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (km).
Antara syarat lain adalah pegawai itu berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor serta semua ibu negeri.
Namun sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan daripada BDR.