Krisis global: PM seru rakyat tidak mengeluh
3 APR : Perdana Menteri menyeru agar rakyat tidak mengeluh dalam menghadapi cabaran semasa susulan konflik Asia Barat yang kian meruncing.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam keadaan ketika ini, semua pihak sepatutnya bersatu dan berpakat memperbaiki kelemahan yang ada.
Berucap pada Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kuantan, hari ini, Anwar menegaskan dalam situasi hari ini Malaysia memerlukan daya tahan untuk menampan segala cabaran yang datang.
“Negara-negara jiran semua sudah buat catuan. Ada negara, minyaknya berharga RM10, ada yang catuan, ada yang tidak ada kedai-kedai minyak dan stesen minyak satu negara 400 sudah ditutup. Kita alhamdulillah masih bertambah.
“Jadi anak-anak, kita bersyukur dan kita bekerja. Kita bersatu. Pakat, baiki kelemahan kita. Tingkatkan daya tahan kita.
“Jangan bebal. Jangan mengeluh dan bebal kerana dalam keadaan ujian ini, kita perlu daya tahan,” katanya.
Sementara mengulas soal program tersebut, Anwar berkata acara itu menjadi wahana pensejarahan yang menghidupkan kembali ruh kepahlawanan bangsa.
Justeru itu katanya, dalam kerangka MADANI yang cuba diterapkan, ciri pendekar yang didambakan adalah generasi yang tidak hanya tangkas di gelanggang tetapi teguh akhlaknya dan jelas pendiriannya dalam menolak kezaliman juga kecurangan serta berupaya menyemarak nilai dalam kehidupan.
“Teruja tatkala menyaksikan semangat serta komitmen anak-anak muda yang tidak sekadar memartabatkan seni silat sebagai warisan leluhur, tetapi turut mempertunjukkan jati diri yang tidak mudah disanggah oleh arus zaman.
“Silat tidak diangkat semata sebagai seni mempertahankan diri tetapi merupakan lambang jati diri yang membentuk disiplin, keberanian, pertanggungjawaban dan sikap hormat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa usaha berterusan para pesilat dan guru seni bela diri itu, warisan berkenaan akan terus subur dan berkembang hebat.
“Justeru, dari gelanggang inilah akan lahir generasi muda yang berjiwa kental, cintakan agama, bangsa dan negara serta generasi yang menyemarak legasi perjuangan, memperkukuh perpaduan juga mengangkat martabat tanah air ke tingkat yang lebih tinggi.
“Ayuh bersama pastikan warisan ini terus hidup dan mekar sebagai tradisi kekuatan bangsa,” katanya.

*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA