4 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan 159 kandungan palsu di media sosial termasuk berkait kenaikan bahan api, setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata maklumat palsu mengenai kenaikan tarif elektrik turut disebar.
“Antara lain, maklumat palsu berkaitan kononnya Malaysia perlu membayar tol ketika melalui Selat Hormuz serta kandungan tidak benar berkaitan kenaikan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kesemua kandungan ini dikenal pasti dalam tempoh beberapa hari sejak 29 Mac lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Terdahulu, MCMC memaklumkan siasatan dijalankan terhadap 17 individu disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di platform media sosial.
MCMC memaklumkan lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat telahpun selesai dijalankan.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan akan mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memerangi penyebaran kandungan palsu.
Ini termasuk melibatkan taktik coordinated inauthentic behaviour menggunakan akaun palsu atau bot.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.
“Individu yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.