4 APR : Perdana Menteri mengkritik sikap dunia yang terus membisu ketika tangan Barat rakus merobek keamanan dan membuat kebobrokan terhadap negara lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ramai ilmuan yang hebat dalam pelbagai bidang di dunia ini namun tiada manfaat kerana ia digunakan untuk berperang dan menjajah.
“Dunia ini tidak kekurangan orang yang pintar, yang membuat segala teknologi, pesawat, senjata paling canggih. Tetapi peperangan mereka (bawa) bobrok, boleh membunuh, zalim, menjajah negara orang tanpa conscience (rasa bersalah).
“Paling akhir, Iran. Bayangkan senang-senang Israel mengambil keputusan…Amerika Syarikat bantu dan dunia hampir senyap kerana pengaruh Barat yang kuat.
“Saya beritahu kawan, anak-anak, Alhamdulillah, Malaysia antara satu-satunya negara yang masih pertahankan semangat kebebasan dan berani menyatakan bahawa serangan itu ganas, biadab dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar bersama Warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata defisit kepercayaan yang berlaku hari ini menyebabkan keyakinan rakyat terhakis terhadap sistem dan kepimpinan.
Jelasnya, ia disebabkan pemimpin itu sendiri yang berdegar-degar berbicara soal keamanan namun pemimpin yang sama mencetuskan perang.
“Contoh nyata, umpamanya pimpinan dunia di negara luar, mereka bercakap soal keamanan tetapi menyerang negara lain. Bercakap hak asasi manusia namun membiarkan orang dibunuh setiap hari, anak-anak kecil. Ini amat bercanggah, benar-benar hipokrit.
“Kalau ini lambang orang politik, tentu rakyat kita tak senang. Sebab itu di negara kita, kita harus ada kesediaan untuk melakukan perubahan,” katanya.