Isu Laut China Selatan: Malaysia tuntut COC dilaksana tanpa campur tangan luar
7 APR : Malaysia akan terus menuntut pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) yang dipersetujui ASEAN dan China tanpa campur tangan luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN harus memimpin tanpa membabitkan pihak lain.
“Kita berpandangan ASEAN harus memimpin dalam isu yang melibatkan rantau ini kerana ia membabitkan negara anggota sendiri.
“Kami akan bertemu semula dengan pemimpin ASEAN di Filipina bulan depan. Kami akan menyampaikan perkara yang sama, kami akan menuntut Kod Tatalaku antara ASEAN dan China yang dipersetujui untuk mengamankan dan menyelesaikan masalah ini tanpa campur tangan kuasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia akan terus mendesak pemuktamadan COC antara ASEAN dan China bagi menjamin kestabilan dan keselamatan di Laut China Selatan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan Malaysia sentiasa konsisten mempertahankan hak dan kebebasan negara dalam menyelesaikan perbezaan secara aman.
“Adalah penting untuk kita menyelesaikan isu ini secara aman tanpa campur tangan luar, selaras dengan prinsip kedaulatan dan kemerdekaan negara,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata isu di rantau ini masih terkawal meski negara barat sering membangkitkan isu Laut China Selatan sebagai isu besar.
“Hubungan kita dengan China adalah baik merangkumi perdagangan, ekonomi dan pertahanan, tanpa sebarang ketegangan yang boleh mencetuskan konflik,” katanya.
