9 APR : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan yang berterusan rejim zionis Israel terhadap Lubnan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan tindakan pencerobohan yang berulang itu merupakan pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.
Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, ia merupakan pelanggaran terus terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Selain itu, Malaysia menyifatkan tindakan Israel itu menggugat perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan semalam.
“Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke dalam konflik yang lebih luas.
“la turut akan menjejaskan usaha diplomatik semasa serta berisiko mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan keselamatan global,” menurut kementerian itu.
Justeru, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan segera dan tegas.
Ia bagi memastikan rejim zionis itu bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
“Tindakan Israel ini mesti dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan bagi melindungi kedaulatan Lubnan.
“Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat Lubnan,” menurut kementerian itu lagi.
Pada masa sama, Malaysia juga tegasnya kekal teguh dengan pendiriannya bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman.