9 APR : Atas faktor keselamatan, Malaysia bakal menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memohon untuk membawa pulang pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di Lubnan dengan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perang yang tercetus di Lubnan ketika ini menjadikan keadaan tidak selamat untuk 511 pegawai dan anggota MALBATT.
“Keadaan di Lubnan ketika ini tidak lagi berasaskan misi pengaman kerana sudah berlaku perang di sana dan semalam pun Israel melakukan serangan, lebih 300 orang terbunuh.
“Saya dah arahkan kita punya wakil tetap di PBB untuk mengumpulkan negara-negara rakan yang menganggotai misi pengaman ini dan kita nak buat memorandum kepada Setiausaha Agung PBB dengan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah-Sekolah di DUN Rantau, hari ini.
Menurut Mohamad, misi itu sepatutnya berakhir hujung tahun ini namun Malaysia melihat keperluan untuk PBB menyemak perkara itu susulan perang yang semakin meruncing di Lubnan.
Keputusan itu katanya perlu dibuat PBB memandangkan misi tersebut di bawah Majlis Keselamatan PBB.
“Kita ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia kerana anggota misi pengaman mereka terbunuh semasa menjalankan misi pengaman di Lubnan dan kita tidak mahu anggota kita turut terdedah.
“Ketika dalam mesyuarat Kabinet, saya telah pun minta Menteri Pertahanan supaya anggota kita tidak lagi perlu membuat rondaan sebaliknya hanya duduk di dalam bangunan supaya tidak terdedah kepada apa jua sebarang kemungkinan,” katanya.
Dalam beberapa serangan terbaharu Israel ke atas pos Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL), meragut nyawa tiga anggota pengaman dari Indonesia dengan beberapa yang lain dilaporkan cedera.