Tumpu isu ekonomi lebih penting daripada politik
10 APR : Isu ekonomi negara lebih penting untuk diberi tumpuan ketika ini berbanding hal parti politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak agar bertenang dan fokus kepada cabaran semasa.
“Tidak mengapa… kita minta semua bertenang dan fokus kepada cabaran ekonomi negara yang jauh lebih penting daripada isu peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah Kampung Cheras Baru, Cheras, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR mengulas tentang gesaan beberapa pemimpin parti agar bekas timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli dikenakan tindakan yang didakwa menjejaskan kekuatan parti.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan lantang mengkritik PKR dan kerajaan selepas meletakkan jawatannya daripada Kabinet.
Semalam, Rafizi dilaporkan mencabar kepimpinan PKR untuk memecatnya jika penjelasan dibuat berkait empat pertuduhan terhadapnya dianggap melanggar perlembagaan parti.
Beliau menerima surat tunjuk sebab kedua daripada Lembaga Disiplin PKR bertarikh 9 April.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA