13 APR : Kerajaan Malaysia tidak menghantar bekalan diesel ke Filipina seperti yang tular di media sosial.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata minyak yang dimaksudkan itu sebenarnya milik syarikat yang berpangkalan di Singapura, Vitol.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, wujud salah faham berkait pergerakan kapal itu di mana minyak itu disimpan di Tanjung Pelepas, Johor.
“Timbul persoalan dalam media sosial mengenai minyak yang didakwa dihantar oleh Kerajaan Malaysia ke Filipina.
“Namun, penjelasan oleh pihak Petronas serta pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan bahawa minyak tersebut bukan milik Malaysia.
“Sebaliknya, ia telah dijual oleh sebuah syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol dan disimpan di sebuah gudang di Johor, di kawasan Tanjung Pelepas,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kuala Nerus, hari ini.
Jelasnya lagi, minyak itu tidak diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak di negara ini.
“Dalam konteks perkapalan, kapal yang berada di perairan Johor dianggap berlepas dari Malaysia.
“Perkara ini menjadi punca salah faham dalam kalangan segelintir pengguna Internet yang mendakwa diesel tersebut dihantar dari Malaysia.
“Hakikatnya, minyak berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya merupakan milik Vitol yang telah dijual kepada pihak Filipina, dengan kapal tersebut hanya berlepas dari perairan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Pasukan Pengurusan Krisis MTEN mengesahkan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa.
Petronas turut membuat penafian atas dakwaan yang tersebar sambil menegaskan tiada sebarang perjanjian dimetrai dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.
Media Filipina sebelum ini melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api.
*FOTO : NADI MALAYSIA