Harga minyak: Lebih baik kerajaan terbeban daripada bebankan rakyat
24 OKT : ‘Lebih baik kerajaan terbeban daripada bebankan rakyat’ menjadi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan harga petrol RON95 kekal RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah dunia melonjak sehingga AS$130 setong.
Beliau berkata, kerajaan bersedia menanggung kenaikan kos subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun bagi melindungi rakyat daripada peningkatan kos sara hidup.
“Kalau harga minyak satu tong pagi ini sudah melonjak, kos yang akan ditanggung oleh kerajaan akan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion satu tahun.
“Kalau kita naik harga minyak ikut pasaran, tiap-tiap hari kena tambah RM2, RM3, minimum RM5 tiap-tiap hari. Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, dia sendiri kerja, itu tiap-tiap hari RM10…lebih baik kerajaan terbeban daripada bebankan rakyat, ibu bapa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 di Kompleks Sukan Hang Jebat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, harga minyak mentah dunia kini meningkat hampir dua kali ganda berbanding sekitar AS$70 setong sebelum ini, sekali gus memberi tekanan kepada kos sara hidup di banyak negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan memilih untuk terus menanggung sebahagian besar kos subsidi bagi mengelakkan rakyat berdepan kenaikan harga petrol yang ketara sekiranya harga bahan api ditentukan sepenuhnya mengikut pasaran.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa pemberian subsidi tinggi menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya menegaskan dasar berkenaan perlu mengambil kira realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, Anwar berkata kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan, pelaburan dan perdagangan semata-mata, tetapi juga melalui manfaat yang dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Katanya, usaha memacu ekonomi menerusi penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor perlu seiring dengan usaha menangani isu kos sara hidup, pendidikan, kesihatan serta peluang pekerjaan.
“Kita tidak bicara hanya angka dan statistik tetapi kita bicara soal manusia. Pendekatan kerajaan berteraskan prinsip menggapai di langit, mengakar di bumi, yang menuntut negara terus meneroka bidang ilmu dan teknologi baharu tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, akhlak, budaya serta kesejahteraan rakyat pada peringkat akar umbi,” katanya.