Malaysia-Australia perhalusi langkah jamin bekalan tenaga
16 APR : Malaysia dan Australia sedang memperhalusi langkah segera serta pelan kontingensi bagi menjamin kestabilan bekalan tenaga berikutan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dibincangkan secara terperinci dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua negara akan menilai lebih mendalam tentang keperluan tenaga masing-masing bagi mencari ruang kerjasama.
“Jadi kita meneliti butiran secara terperinci. Kami juga telah bertemu dengan kepimpinan Petronas dan mereka akan meneruskan perbincangan secara lebih terperinci.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah melihat terlebih dahulu keperluan domestik kita serta keperluan tenaga domestik Australia dan melihat bagaimana kita boleh saling membantu atas dasar timbal balik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Anthony Albanese sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Australia itu ke Malaysia.
Menurut Anwar, kedua-dua negara saling memerlukan dalam beberapa bidang dan keperluan tertentu.
Sementara Albanese berkata Malaysia dan Australia terus menerima manfaat daripada hubungan dua hala itu terutama dalam sektor tenaga dan pertanian.
Katanya, Australia merupakan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) ke Malaysia dan pada masa sama Australia mengimport pelbagai produk Malaysia termasuk bahan api dan baja.
“Australia yakin akan terus memenuhi kontrak yang telah dimeterai dengan Malaysia kerana keselamatan bekalan tenaga adalah amat penting dalam memperkukuh hubungan di rantau ini,” katanya.
