22 APR : Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi jaminan pendakwaan terhadap kes tembak yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka tahun lalu akan dibuat berdasarkan undang-undang.
Jaminan itu dibuat jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut AGC, pihaknya sudah ditaklimatkan perkembangan siasatan kes itu pada 17 April lalu.
“Pada 17 April 2026, Jabatan Peguam Negara telah ditaklimatkan perkembangan siasatan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November 2025.
“Dalam hal ini, Jabatan ini memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang ada bagi memastikan proses keadilan terhadap semua pihak terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Menurut jabatan itu, pihaknya sedang mengkaji dan meneliti kertas siasatan yang dikemukakan secara menyeluruh.
“Ia bagi menentukan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya, sekiranya perlu,” kata Jabatan Peguam Negara.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun mati ditembak selepas seorang daripada mereka didakwa menghayun parang ke arah seorang polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan masih menanti laporan agensi berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.