23 APR : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Royal Press Office (RPO) melalui satu kenyataan di Facebook rasmi baginda, hari ini.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda.
Dalam kenyataan itu, baginda bertitah isu pelantikan itu tidak perlu dipolitikkan mana-mana pihak.
“Sultan Ibrahim bertitah baginda akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
“Justeru, baginda bertitah menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim juga bertitah jawatan itu amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Jawatan itu kini dipegang Tan Sri Azam Baki sejak 9 Mac 2020.
Kontak Azam kemudiannya disambung sebanyak tiga kali sehingga yang terakhir tamat pada 12 Mei ini.