30 APR : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencabulan rejim zionis di perairan antarabangsa terhadap kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata 22 kapal misi itu dipintas dan diceroboh Israel yang turut dinaiki 10 rakyat Malaysia.
“Saya telah menerima panggilan daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
“Beliau telah menyampaikan taklimat terperinci berhubung insiden 22 kapal misi GSF 2.0 yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza.
“Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencabulan rejim Zionis diperairan antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila insiden ini turut melibatkan 10 rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, hanya satu daripada 22 kapal tersebut berjaya dihubungi setakat jam 7 malam tadi.
“Berdasarkan maklumat terkini setakat 7 malam tadi, Ketua Pengarah SNCC memaklumkan bahawa satu daripada 22 kapal tersebut telah berjaya dihubungi.
“Kapal dengan nama TamTam telah terputus hubungan lebih 10 jam setelah alat komunikasi dan enjin kapal disabotaj. Bagaimanapun, 21 kapal yang lain masih belum dapat dihubungi,” katanya.
Dalam pada itu kata Fahmi, Kementerian Komunikasi akan terus memantau pelaporan media bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi, khususnya melalui SNCC, agensi kerajaan serta media arus perdana, bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran berita tidak benar.
Sementara akaun Facebook Sumud Nusantara Official mengesahkan 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu ditahan rejim zionis Israel.
“Seramai 10 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan oleh rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza.
“Mereka merupakan sebahagian daripada sukarelawan antarabangsa yang membawa bantuan serta berusaha mencabar sekatan yang telah lama menekan rakyat Gaza,” menurut akaun tersebut.

Sumud Nusantara Official juga menyatakan susulan insiden itu, timbul kebimbangan serius terhadap keselamatan aktivis kemanusiaan yang turut mencetuskan persoalan mengenai pematuhan undang-undang antarabangsa dan prinsip kebebasan pelayaran.
“Rakyat Malaysia terus berdiri teguh bersama mereka. Solidariti tidak akan terhenti,” menurut akaun rasmi itu.