NRES perlu perkukuh penguatkuasaan berintegriti, pesan PM
4 MEI : Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu memperkukuh penguatkuasaan berintegriti selain tidak boleh berkompromi terhadap terhadap ketirisan dan penyeludupan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga NRES, hari ini.
“Di perhimpunan bulanan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pagi ini, saya tegaskan bahawa penguatkuasaan berintegriti mesti terus diperkukuh.
“Ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi, dan tindakan mesti lebih tegas serta konsisten di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri perjumpaan itu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan beberapa langkah utama yang diambil kerajaan bagi menghadapi krisis Asia Barat.
Ini termasuk subsidi diesel bersasar, pengurusan harga ayam dan telur serta subsidi elektrik bersasar.
Katanya setakat ini, lebih 343,000 kenderaan pengangkutan barangan menikmati harga RM2.15 seliter, lebih 10,000 nelayan dilindungi pada kadar RM1.65 seliter dan lebih 350,000 penerima BUDI MADANI (individu dan agri-komoditi) menerima bantuan tunai.
Sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan harga diesel kekal pada kadar RM2.15 seliter.
“Perbelanjaan subsidi petrol dan diesel mencecah sehingga RM7 bilion bagi mengekang kos logistik dan harga barangan
“Penyasaran dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi harga ayam dan telur, Malaysia berlalih daripada subsidi pukal kepada pendekatan kawalan harga yang lebih strategik.
“Menangani kartel melalui rundingan dan penguatkuasaan lebih tegas,harga kekal terkawal, malah ada ketika lebih rendah berbanding tempoh subsidi.
“Penjimatan subsidi disalurkan semula kepada golongan sasar seperti petani dan nelayan,” katanya.
Bagi subsidi elektrik bersasar pula, Anwar berkata penstrukturan tarif melindungi 85 peratus pengguna domestik daripada kenaikan bil di mana 9 juta isi rumah menerima manfaat melalui Insentif Cekap Tenaga.
“Rebat RM40 kepada isi rumah miskin tegar serta rebat khas kepada institusi pendidikan, kesihatan dan kebajikan
“Mekanisme pelarasan automatik memastikan kos bahan api diurus secara adil tanpa membebankan rakyat,” katanya.
Tambah Anwar, dalam segala keterbatasan, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar dan pelaksanaan agar setiap langkah benar-benar meringankan beban rakyat, sambil memastikan ekonomi negara kekal stabil dalam menghadapi ketidaktentuan global.
