PM kata kerajaan akan jelaskan kepada Tengku Hassanal
9 MEI : Kerajaan MADANI akan memberi penjelasan secara menyeluruh kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu ketika ditanya tentang pertikaian berkait peruntukan Pusat kepada Pahang.
Katanya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung perkara itu.
Katanya, penerangan berkait kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran juga akan diberi kepada Tengku Hassanal.
“Saya hormat Tengku Mahkota…peruntukan kepada Negeri Pahang itu besar, bukan kecil.
“Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis dan memberikan penjelasan keseluruhannya mengenai peruntukan untuk negeri Pahang serta keadaan ekonomi semasa.
“Sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina, hari ini.
Terdahulu, Tengku Hasssanal dalam titahnya ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.
Susulan itu, buat julung kalinya, Tengku Hasanal melalui satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang membalas jawapan Anwar itu dengan serangkap pantun.
“Saya mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri. Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.
“Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik lewat malam tadi.
