PBT digesa kurangkan sewa premis, ringankan beban peniaga kecil
12 MEI : Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara digesa agar mengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan masing-masing bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpir dengan peningkatan kos operasi.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata
Beliau berkata, langkah itu perlu diperluaskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan golongan peniaga kecil terus berdaya tahan dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar.
“Mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.
“Antara yang dibincangkan adalah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan PBT. Saya tegaskan bahawa lebih banyak PBT di seluruh negara perlu melaksanakan inisiatif ini bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI sudah memulakan pengurangan kadar sewa premis dan peniaga menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Katanya, pendekatan ihsan itu wajar dicontohi PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Selain cadangan pengurangan kadar sewa premis, mesyuarat itu katanya turut meneliti pelbagai langkah strategik untuk mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup.
Antara yang diteliti termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga barangan, katanya.
“Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, saya telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata MTEN akan terus memberi tumpuan utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA