Mungkin bubar Parlimen lebih awal jika kestabilan politik terus digugat
18 MEI : Parlimen mungkin bakal dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berikutan kestabilan politik negara terus digugat.
Perkara itu disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tegas Anwar, beliau tidak teragak-agak untuk memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negara.
“Dalam tempoh terdekat saya kena panggil pimpinan PH untuk berunding. Kita harus berfikir secara serius, kalau inilah cara kita memperkotak-katikkan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan PRU seluruh negara?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Ahad.
Selain itu, Anwar juga menegaskan jika gagal dalam rundingan, PH sudah bersedia meletakkan calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang.
“Kalau inilah pilihan mereka (BN, PH akan bertanding di semua kawasan dan kita pantau seluruhnya.
“Saya akan bincang (dengan) kawan-kawan, apakah kita bersedia untuk lakukan segera?” katanya.
Beliau berkata, seluruh jentera PH perlu berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan pilihan raya dalam masa terdekat.

Namun, Anwar berkata pihaknya masih bersedia untuk berunding dengan baik bagi menjaga kestabilan demi kepentingan negara.
“Namun pendekatan itu jangan sesekali dibaca sebagai kelemahan. Jika mereka mahu berunding dengan baik, kita berunding dengan baik. Tetapi kalau mereka memilih untuk bertempur, kita akan bertempur dengan penuh keyakinan dan kekuatan.
“Kita tidak makan ugutan, soal mandat biarlah dikembalikan kepada rakyat untuk menentukannya, bukan sekadar di negeri-negeri tertentu tetapi jika perlu, di seluruh negara. Kita juga didewasakan dengan pelbagai luka dan pengalaman, namun tidak sesekali tunduk kepada ugutan, pengkhianatan mahupun percaturan sempit politik.
“Insya-Allah, PH akan terus bersedia, memperkukuh saf perjuangan dan mempertahankan kestabilan negara dengan penuh keyakinan, semangat kebersamaan dan rasa tawaduk demi rakyat serta tanah air tercinta,” katanya.