Usaha basmi kemiskinan perlu menyeluruh, berterusan
16 MEI : Usaha membasmi kemiskinan dan memperkasa rakyat mesti diteruskan secara menyeluruh, inklusif serta berterusan.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Skim PADURI MADANI di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan lebih berani bagi memastikan peluang menjana pendapatan itu dapat diperluas.
“Dalam suasana ekonomi dunia yang terus berdepan ketidaktentuan, tekanan kos sara hidup serta cabaran rantaian bekalan global, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih berani dan ihsan agar peluang menjana pendapatan dapat diperluas khususnya kepada golongan yang paling memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Skim itu memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta bagi melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.
Jelas Anwar, Skim PADURI MADANI membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk bangkit membina kehidupan yang lebih bermaruah melalui keusahawanan termasuk mereka yang pernah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis.
Katanya, tanpa keperluan penjamin atau cagaran, skim ini memberi peluang kedua kepada rakyat untuk memulakan langkah baharu demi masa depan keluarga mereka.
“Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Skim ini juga bersifat inklusif dengan menyasarkan wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di bandar dan luar bandar agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih adil dan menyeluruh,” katanya.
Anwar berkata keupayaan wanita dalam bidang keusahawanan bukan sahaja penting dalam memperkukuh ekonomi keluarga, malah menjadi antara pemacu utama kepada ketahanan ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berperikemanusiaan.
