Kementerian Luar desak Israel bebaskan rakyat Malaysia, beri layanan sempurna
19 MEI : Kementerian Luar mendesak rejim zionis Israel membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa ketika menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dengan kadar segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menuntut rejim itu memberi layanan yang sempurna terhadap semua aktivis yang ditahan.
Mohamad berkata sebahagian penahanan berlaku ketika kapal flotila membawa mereka itu berada di luar laut Cyprus dan belum memasuki perairan Israel yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
“Kita mendesak agar pihak rejim zionis Israel memberikan layanan yang sempurna kepada mereka dan membebaskan mereka dengan segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Mereka tidak menceroboh dalam perairan Israel tetapi mereka jauh di luar. Tetapi mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain yang turut sama ditahan rejim zionis Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sejuru tiba dari Myanmar bagi lawatan kerja ringkas, hari ini.
Pada sidang media sama, Mohamad merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye dan rakan sejawatnya, Hakan Fidan yang membantu membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang ditahan Greece, sebelum ini.
“Ada lima orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak Greece kerana kapal mereka karam. Mereka nak bawa balik kapal tetapi melanggar batu karang.
“Tiga orang peserta telah dibebaskan, manakala dua orang kapten dan penolong kapten ditahan dan dibicarakan tetapi mahkamah telah membebaskan. Mereka semua telah balik ke Istanbul,” katanya.
Hari ini, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 29 rakyat Malaysia yang mengikuti misi GSF 2.0 ditahan tentera rejim itu.
Ini termasuk empat peserta terakhir yang kedudukannya hanya beberapa jam dari pantai Gaza.