FMM bentang realiti sebenar kesan krisis bekalan global
19 MEI : Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh langkah bagi membantu sektor pembuatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi tekanan kos susulan krisis bekalan global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) turut membentangkan kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara pada mesyuarat kali ini.
Katanya, pembentangan itu memberi gambaran yang lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran semasa sedang dihadapi pihak industri.
“Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu PKS yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa.
“Ketika ini, kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.
“Sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memperkukuh kawalan terhadap ketirisan subsidi tanpa menjejaskan kelancaran operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.
“Kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Tambahnya, libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat agar setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara.