21 MEI : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap Tik Tok susulan kegagalan platform Iitu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam tempoh munasabah untuk menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu, mengancam serta akaun palsu yang ditujukan terhadap institusi diraja.
Menurut suruhanjaya itu, tindakan berkenaan dilaksanakan susulan penularan kandungan yang dikaitkan dengan satu akaun yang kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Pengeluaran Tuntutan Statutori ini menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.
“TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform.
“Selanjutnya TikTok juga dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut,” menurut MCMC dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC menjelaskan kandungan itu berkait kenyataan yang jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina serta video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (Al) juga imej dimanipulasi yang bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia.
Tegas MCMC, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap institusi Perlembagaan,” menurut MCMC.
Kata MCMC, walaupun makluman dan libat urus terdahulu sudah dilaksanakan namun respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati tidak memuaskan.
“Khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dilakukan dengan segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan tersebut.
“Sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab yang lebih tinggi dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi bagi aktiviti-aktiviti yang memudaratkan dan menyalahi undang-undang,” menurut MCMC.
Selain itu, MCMC menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal dalam bidang kuasanya termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar, bagi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.
“Pemberi perkhidmatan media sosial harus bertindak secara bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti 3R.
“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal yang perlu bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” menurut suruhanjaya itu.