Dua kod baharu ONSA lindungi kanak-kanak dalam talian
22 MEI : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Menurut MCMC, ia susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan termasuk pelaksanaan rundingan awam dari 12 Februari 2026 hingga 31 Mac 2026.
MCMC memaklumkan, CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.
“Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, MCMC berkata kod tersebut menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan pada perkhidmatan masing-masing, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” menurut MCMC.
Jelas MCMC, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dengan memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan (safety by design) bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka.
Ini termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
“Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan,” kata MCMC.
RMC pula menurut MCMC menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
CPC dan RMC akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Namun MCMC berkata, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur.