26 MEI : Kerajaan dapat menjimatkan sehingga RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter dengan pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) setakat semalam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kesan penjimatan yang dapat dilihat dalam tempoh 40 hari sejak pelaksanaannya 15 April itu dapat membantu dalam meringankan bebanan kewangan ditanggung kerajaan.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lepas.
“Walaupun tekanan subsidi mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi ‘Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness’ (ERAT) anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), malam tadi.
Sebelum ini, penjimatan subsidi petrol kerajaan dilaporkan RM1.9 juta bagi petrol sahaja iaitu 979,632 liter hanya dalam 10 hari pelaksanaan BDR melibatkan 200,000 penjawat awam.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep T.E.G.A.S (tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif) untuk memastikan BDR dilaksanakan dengan berkesan dan tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak membezakan layanan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?” katanya.
Beliau turut menekankan agar pemantauan lebih tegas oleh setiap ketua jabatan sementara isu salah laku dijadikan agenda tetap Mesyuarat Pengurusan Bulanan di semua kementerian dan jabatan.
