12 OKT : Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang diadakan di Melaka mulai esok, ketika krisis institusi diraja negeri itu masih belum menemui penyelesaian.
Menurut laporan Straits Times Singapura, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan hingga 15 Oktober, menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.
Perkembangan itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan yang sah, susulan kemelut yang berlarutan sejak April lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan itu menyebut Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, sepupu Tuanku Muhriz, beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan menghadiri mesyuarat berkenaan, termasuk menerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim.
Bagaimanapun, Tuanku Muhriz dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja esok, yang tidak disertai Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan kepentingan negeri masing-masing.
Tuanku Muhriz juga dijadual menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu pada Rabu ini, sekali gus memberikan baginda ‘majoriti jelas’ dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU), menurut sumber yang dipetik laporan itu.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencadangan supaya mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan di Melaka.
Hasrat itu dizahirkan ketika sekali gus membuka peluang mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan lokasi penganjuran acara berprestij.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan tercetus pada April lalu apabila empat undang yang kedudukan mereka dipertikaikan mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Pada Jun lalu, individu sama dikatakan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka.
Kemelut itu semakin meruncing pada September apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pimpinan Ismail mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Ismail turut menyokong kenyataan berkenaan meskipun sebelum itu menolak pengisytiharan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan DKU menegaskan kenyataan itu tidak mempunyai kesan undang-undang, dengan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Susulan perkembangan itu, pelantikan barisan exco terbabit dibatalkan dan pentadbiran negeri diteruskan tanpa pelantikan pengganti setakat ini.