26 MEI : Kekuatan bangsa dan negara tidak bergantung semata-mata pada kemajuan ekonomi serta pembangunannya.
Namun ia turut bergantung kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama.
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Perutusan Aidiladha 2026, hari ini.
Baginda turut bertitah agar orang Melayu dan umat Islam di negara ini terus memelihara perpaduan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara yang boleh meretakkan keharmonian.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar hari ini, saya menyeru agar seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini terus memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan dan tidak mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat.
“Seperti mana yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Perutusan Aidiladha 2026 yang menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini supaya terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat,” titah baginda.
Titah baginda, Aidiladha membawa pengajaran mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah selain menjadi lambang kesatuan umat Islam tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
“Sempena Aidiladha kali ini, dengan penuh rasa syukur, saya bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Negeri Pahang Darul Makmur walau di mana jua berada.
“Aidiladha merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah sesama umat Islam.
“Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan,” titah baginda.
Dalam perutusan sama, baginda turut menzahirkan harapan agar seluruh rakyat di negeri Pahang sentiasa memelihara adab, memperkukuh semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat.