4 JUN : Satu gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 dengan kedalaman 10 kilometer (km) dilaporkan berlaku di Ranau, Sabah pada jam 10.36 pagi, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud di negeri berkenaan.
“Gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 6.07° Utara dan longitud 116.58° Timur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Hisham, pada sebelah malamnya, turut direkodkan satu lagi gempa bumi lemah di Mambong, Sarawak.
“Pada hari yang sama, jam 10.33 malam, satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 dan kedalaman 10 km telah berlaku di Mambong, Sarawak.
“Gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 1.32° Utara dan longitud 110.39° Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohd Hisham berkata pihaknya akan terus memantau keadaan tersebut dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi yang berlaku adalah pada magnitud lemah.
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.