11 JUN : Gelaran Tan Sri kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad ditarik balik berkuat kuasa 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Pengerusi Felda itu.
“Penarikan balik ini adalah bersangkutan dengan beliau yang telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor,” kata kenyataan itu.
Menurut jabatan itu, penarikan balik kurniaan berkenaan selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Serta titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Februari lalu, mahkamah mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah terhadap semua pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dengan denda RM15.45 juta dengan tambahan hukuman penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.