Hubungan diplomatik, kestabilan politik jamin bekalan tenaga
13 JUN : Hubungan diplomatik yang kukuh dengan pelbagai negara serta kestabilan politik dalam negara membolehkan Malaysia terus menjamin bekalan minyak dan gas walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan bekalan akibat krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar diplomatik Malaysia dengan semua negara menjadikan negara ini dilihat sebagai rakan strategik yang dipercayai kuasa-kuasa dunia termasuk Rusia dan Turkmenistan.
Berkongsi pengalaman semasa mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan baru-baru ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemimpin negara berkenaan menyatakan kesediaan mengendalikan antara telaga gas terbesar di dunia bersama Malaysia melalui Petronas.
“Negara kita mengambil sikap bersahabat dengan semua termasuk dengan Amerika Syarikat dan China, selain keadaan politik dalam negara yang stabil, tidak bergegar atau bergaduh antara kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link, hari ini.
Menurut Anwar, kestabilan politik perlu dipertahankan kerana ia menjadi faktor penting yang membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan negara serta meningkatkan keyakinan pelabur asing.
“Sebab itu dalam masa yang lalu, saya beri sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji kerana saya fikir cukuplah kita berbalah dalam banyak isu, tetapi politik negara ini harus stabil kerana kalau tidak stabil, orang tidak akan melabur,” katanya.
Anwar berkata krisis tenaga yang berpunca daripada konflik di Asia Barat meneybabkan banyak negara termasuk ASEAN yang terpaksa menutup sekitar 400 stesen minyak kerana kekurangan bekalan.
“Kita bersyukur dalam keadaan itu pun harga minyak murah…Malaysia kekal RM1.99 (seliter).
“Kita ada masalah diesel kita naikkan harga sedikit tetapi untuk seperti pertanian, bas, pengangkutan tidak. Ini kerana kita harus sedar apapun masalah jangan bebankan rakyat,” katanya.
