13 JUN : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan status pelarian bukan lesen untuk mana-mana individu melakukan jenayah atau melanggar peraturan negara ini.
Penegasan itu dibuat ketika kerajaan dalam usaha memperkemas pengurusan pelarian di negara ini termasuk menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut KDN, kerajaan memahami kebimbangan rakyat terhadap isu pelarian selain mengambil maklum kes-kes tertentu yang melibatkan individu daripada komuniti itu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia. Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasaan lain akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah, penyeludupan migran, pemerdagangan orang, pelanggaran undang-undang imigresen dan kesalahan-kesalahan lain tanpa mengira kewarganegaraan atau status mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
KDN turut menegaskan mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang negara tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa.
Justeru itu, dalam usaha memperkukuh pengurusan pelarian, kerajaan kini sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia bagi memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan langkah itu penting bagi memastikan kerajaan mempunyai data yang menyeluruh untuk tujuan keselamatan negara.
“Pertama, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ada data. Kedua, kerajaan kini sedang melaksanakan pengumpulan data kita sendiri,” katanya.
Menurut KDN, DPP bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia, sebaliknya bagi membantu kerajaan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta merangka dasar yang lebih berasaskan fakta.
Pada masa sama, kementerian itu memaklumkan pelarian yang memenuhi syarat tertentu berkemungkinan diberikan akses kepada peluang pekerjaan yang sah, tertakluk kepada dasar dan kawalan kerajaan.
“KDN juga ingin menegaskan bahawa sebarang akses pekerjaan yang diberikan akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing, khususnya sektor berintensifkan buruh seperti perladangan, pertanian dan pembinaan. Keutamaan pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terus dipelihara.
“Pada masa yang sama, mana-mana individu yang dibenarkan bekerja secara sah akan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan pekerjaan negara termasuk pematuhan kepada kadar gaji minimum dan perlindungan pekerja yang berkuat kuasa.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja serta memastikan persaingan yang adil dalam pasaran pekerjaan,” kata KDN.
Namun KDN menegaskan keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi dan kerajaan akan terus mengurus isu pelarian secara bertanggungjawab dengan mengambil kira aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, pasaran pekerjaan, kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat.