KENYATAAN MEDIA
JABATAN PENJARA MALAYSIA
Berhubung insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025, Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh. Hasil siasatan tersebut telah membawa kepada pertuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan. Dalam masa yang sama, lima lagi kakitangan penjara sedang berdepan dengan prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang. Jabatan tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan.
Jabatan Penjara Malaysia mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan. Sehubungan itu, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya, manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan. Pada masa yang sama, Jabatan menghormati sepenuhnya proses siasatan dan prosiding perundangan yang sedang berjalan serta akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses tersebut.
Jabatan juga ingin menegaskan bahawa pengurusan dan layanan terhadap penghuni penjara sentiasa dilaksanakan berdasarkan kerangka perundangan yang berkuat kuasa, termasuk Akta Penjara 1995 [Akta 537] dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000. Komitmen ini menjadi asas kepada pengoperasian institusi penjara di seluruh negara dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara termasuk perancangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang telah lama dikenal pasti memerlukan penggantian. Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif adalah penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara.
Jabatan Penjara Malaysia akan terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan kekal komited memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti.
JABATAN PENJARA MALAYSIA