Persekutuan salur RM16 bilion untuk Johor
23 JUN : Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan lebih besar kepada Johor berbanding hasil yang disumbangkan negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang hasil kira-kira RM14 bilion kepada Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025 namun kerajaan menyalurkan kembali sebanyak RM16 bilion.
“Johor tidak pernah diabaikan, bahkan peruntukan dan pembangunan untuk negeri ini meningkat saban tahun. Johor menyumbang sekitar RM14 bilion kepada Persekutuan, namun kita kembalikan lebih RM16 bilion untuk pembangunan, infrastruktur dan kebajikan rakyat Johor. Bahkan peruntukan keseluruha ketiga terbesar berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, malam ini.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar berkata fakta itu perlu didedahk bagi memberikan gambaran sebenar tentang komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata peruntukan perbelanjaan mengurus diterima Johor juga lebih tinggi di bawah Kerajaan MADANI berbanding pemerintahan sebelum ini.
Katanya, peruntukan perbelanjaan mengurus yang diterima Johor meningkat kepada RM8.7 bilion setahun berbanding kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion ketika pentadbiran terdahulu.
Peningkatan itu katanya, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap rakyat Johor.

Pada majlis itu, Anwar mengumumkan 56 calon PH untuk kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi PRN Johor, bulan depan.
“Saya telah mengumumkan keseluruhan 56 orang calon yang bakal mewakili PH pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang. Insya-Allah, mereka akan mewakili masyarakat pelbagai kaum dengan isu-isu setempat yang dekat dengan sanubari masyarakat.
“Alhamdulillah, dengan ‘track record’ yang terbaik di peringkat Persekutuan, kita meyakini bahawa kita memasuki pilihan raya ini dengan hasrat dan matlamat yang jitu untuk perubahan. Komitmen ini terlihat melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan yang telah disalurkan kepada negeri Johor sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH menegaskan agar demokrasi mesti terus marak dan kekal pertandingan antara parti politik tanpa melibatkan mana-mana institusi termasuk institusi diraja.
“Jika mahu bertarung, masuk gelanggang dan bertarung secara bermaruah. Lawan dengan fakta dan rekod, bukan menunggang institusi diraja dan menghasut sentimen kaum atau agama semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Rakyat Johor berhak mendengar tawaran terbaik untuk masa depan mereka, bukan disogok kebencian dan perpecahan,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada semua calon PH bahawa persaingan dalam pilihan raya itu bukan soal merebut kuasa atau jawatan sebaliknya amanah besar untuk bekerja keras menyelesaikan masalah rakyat serta menggalas harapan bagi membawa Johor melangkah lebih jauh ke hadapan.