24 JUN : Harga runcit petrol dan diesel diturunkan bagi tempoh 25 Jun hingga 30 Jun berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga runcit RON97 diturunkan 25 sen kepada RM4.10 seliter, RON95 tanpa subsidi diturunkan 25 sen kepada RM3.47 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan 30 sen kepada RM4.07 seliter.
Menurut MoF, penurunan itu mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih menggalakkan, susulan penyederhanaan harga minyak mentah global dan perkembangan lebih positif dalam konflik di Asia Barat.
Namun menurut MoF, pasaran petroleum global masih berdepan ketidaktentuan dalam jangka sederhana termasuk risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad, pemulihan rantaian bekalan yang mengambil masa serta tahap inventori dan kos logistik yang masih belum kembali sepenuhnya kepada paras prakonflik.
“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI terus komited untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran melalui subsidi bersasar, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk Turkmenistan dan Rusia,” menurut MoF.
Dalam pada itu, MoF berkata meski bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MoF berkata Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
Pada masa yang sama, MoF berkata kerajaan akan melaksanakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai 1 Julai 2026 bagi menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara.
“Melalui mekanisme ini, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad, manakala subsidi diesel bagi sektor strategik dan kritikal seperti nelayan, petani kecil, sektor komoditi dan pengangkutan awam darat terus dikekalkan.
“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” kata kementerian itu.