30 JUN : Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) struktur baharu yang dilancarkan hari ini tampil dengan 94 ciri keselamatan berbanding hanya 49 sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mulai esok, rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mempunyai pilihan untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku 5 tahun atau 10 tahun.
“Alhamdulillah, satu lagi langkah ke hadapan buat Malaysia dengan peluncuran PMA struktur baharu yang telah disempurnakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri).
“Bermula 1 Julai 2026, rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas kini mempunyai pilihan untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau sehingga 10 tahun, mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas majlis pelancaran di Lobi Parlimen, hari ini.
Saifuddin berkata pelbagai teknologi keselamatan terkini seperti hologram, cetakan ultraviolet (UV), latent image dan beberapa elemen perlindungan lain diterapkan bagi mengurangkan risiko pemalsuan, pengubahsuaian serta penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.
Menurutnya, kadar bayaran pasport bagi tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan pada kadar RM350.
“Ini pastinya memberi lebih kemudahan kepada rakyat, khususnya mereka yang kerap ke luar negara atas urusan kerja, perniagaan, pengajian mahupun bersama keluarga.
“Kadar bayaran bagi pasport 10 tahun ditetapkan pada RM350. Berbanding pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dibuat dua kali dalam tempoh yang sama, rakyat menikmati penjimatan sebanyak RM50,” katanya.
Menurut Saifuddin lagi, pasport baharu itu akan diperkenalkan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara bermula Julai ini.
“Namun, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada kerana ia masih sah digunakan sehingga hampir tamat tempohnya.
“Semoga inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mengukuhkan lagi kedudukan Pasport Malaysia sebagai antara dokumen perjalanan yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
