14 NOV : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan 675,166 merupakan pengundi biasa.
Setakat jam 10.20 pagi ini, laman web SPR menunjukkan 21.93 peratus atau 146,477 pengundi sudah keluar mengundi.
Sementara proses pengundian PRN Melaka di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram berjalan lancar setakat jam 9 pagi tadi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran proses berkenaan, termasuk kehadiran awal pengundi di pusat mengundi itu.
“Saya amat berpuas hati. Pagi ini sebelum pukul 9, saya tanya tadi sudah lebih 500 orang yang datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi bersama isterinya, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz di SK Jeram, hari ini.
Ab Rauf turut memuji petugas SPR yang disifatkan cekap mengendalikan proses pengundian sehingga memudahkan urusan orang ramai.
“Saya lihat tugas yang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPR memang nampak teratur dan ketertibannya tak menyusahkan pengundi yang datang, kerana ini adalah satu usaha yang terbaik bagi memudahkan rakyat datang mengundi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya pengundi di kawasan Tanjung Bidara yang keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
