1 JUL : Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 diluluskan di Dewan Rakyat dengan suara majoriti, hari ini.
Antara peruntukan dalam RUU yang mengandungi 61 fasal berkaitan jenayah siber itu adalah pemalsuan digital (deepfake) dan penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer kompleks.
RUU itu dibahaskan 48 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU itu tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa sebaliknya tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang serta prosedur perundangan yang ketat bagi melindungi hak asasi dan privasi rakyat.
Menurutnya, kuasa mengakses sistem dan data komputer juga tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya, tetapi perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang.
“Notis pemeliharaan data komputer hanya boleh dikeluarkan sekiranya pegawai penyiasat berpuas hati bahawa data itu munasabah dan diperlukan bagi tujuan penyiasatan serta terdapat risiko data berkenaan dipadam, diubah atau dimusnahkan jika tindakan segera tidak diambil.
“Mengenai penzahiran data komputer, kerajaan ingin menegaskan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan melalui notis bertulis kepada pihak mempunyai milikkan atau kawalan ke atas data tersebut dan tertakluk kepada keperluan penyiasatan yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul RUU tersebut.
Mengulas dakwaan RUU itu akan mengekang kebebasan bersuara, Ahmad Zahid menegaskan ia penting bagi aspek keselamatan dan jenayah siber.
Selain itu katanya, kerajaan juga menubuhkan Cybersecurity and Cryptology Development Centre yang menggabungkan CyberSecurity Malaysia dan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memperkukuh kepakaran termasuk forensik AI.