4 JUL : Kerajaan Thailand menyerahkan pampasan sebanyak 650,000 baht (kira-kira RM80,000) pada Jumaat kepada seorang daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Tak Bai, Narathiwat pada 29 Jun lalu.
Gabenor Narathiwat, Boonchuay Homyamyen berkata pampasan itu disalurkan menerusi dana Kerajaan Thailand bagi membantu mangsa insiden berkaitan keselamatan, termasuk melibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Beliau berkata kerajaan Thailand amat kesal dengan kejadian yang menyebabkan kedua-dua rakyat Malaysia itu cedera dan memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan bagi melindungi penduduk serta pelancong.
“Kami tidak akan berdiam diri. Kerajaan Thailand komited memastikan keselamatan semua pihak dan akan terus berusaha memulihkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Thailand,” katanya.
Terdahulu, Boonchuay menyampaikan cek pampasan itu kepada Muhammad Yusri Udin dalam satu majlis di Pejabat Kastam Sungai Golok.
Pada 29 Jun lalu, Muhammad Yusri, 38 dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45 cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di Daerah Tak Bai kira-kira pukul 11.40 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa Thailand memaklumkan kedua-dua rakyat Malaysia itu bukan sasaran serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak.
Susulan kejadian itu, seorang suspek berusia 40 tahun ditahan, manakala pasukan keselamatan Thailand melancarkan siasatan menyeluruh termasuk operasi pelupusan bahan letupan dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian.