Jajaran baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao dijangka pacu ekonomi sempadan
10 JUL: Pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Langkah itu juga akan memudah cara pergerakan rakyat dan mempercepat aliran perdagangan di pintu masuk darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan jajaran itu mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat aliran perdagangan dan memudah cara pergerakan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai pintu masuk perdagangan darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand, setiap penambahbaikan di laluan Bukit Kayu Hitam-Sadao akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat.
“Alhamdulillah, hari ini sekali lagi ketemu Perdana Menteri (Thailand), Anutin (Charnvirakul) bagi menyempurnakan pembukaan jajaran jalan baharu menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao, Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Laluan Baharu di sempadan itu, hari ini.
Pada masa sama, Malaysia dan Thailand turut bersetuju mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan, menyelesaikan isu-isu teknikal yang masih tertangguh serta memperkukuh komitmen untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2027.
Anwar berkata manfaat daripada pembangunan itu bukan hanya tertumpu di kawasan sempadan, malah dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan, logistik, pelancongan serta peluang pekerjaan.
“Inilah pendekatan Kerajaan MADANI yang memastikan setiap hubungan strategik diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
“Insya-Allah, Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh hubungan demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
