30 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan ditegur dan dinasihati jika terdapat kesilapan sepanjang pentadbirannya.
Namun, beliau menolak sebarang penghinaan atau dakwaan kononnya Kerajaan MADANI tidak melakukan apa-apa ketika mentadbir.
“Tegurlah saya, nasihatlah saya, tapi jangan hina sehingga mengatakan kita tidak buat apa-apa. Umur saya sudah lanjut…tua dan saya bersyukur Alhamdulillah kerana masih sihat serta diberi ruang untuk berkhidmat sedaya upaya.
“Kalau ada kelemahan yang semestinya ada, berilah teguran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan memerlukan ruang bagi membetulkan kelemahan serta kecuaian yang berlaku sebelum ini.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited memperkukuh kebajikan orang Melayu memerlukan pembelaan di samping memartabatkan Islam menerusi tindakan serta pelaksanaan dasar.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan terus berusaha mengurangkan tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat.
Anwar mengambil contoh penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter walaupun kerajaan menanggung subsidi sekitar RM40 bilion setiap tahun.
“Jadi, tiap kali isi minyak ingat bahawa kerajaan terpaksa tampung, tak mahu bebankan rakyat… kos barang import tinggi dan kos sara hidup tinggi.
“Sedaya upaya saya, kerajaan kita turunkan dan kurangkan beban dalam keadaan sekarang,” katanya.
