Pendedahan RCI TH tidak jejas Kerajaan Perpaduan
31 JUL : Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menyokong keputusan kerajaan mendedahkan laporan berkenaan.
“Datuk Seri (Ahmad) Zahid dan rakan-rakan menyokong pendedahan keseluruhannya.
“Oleh itu, tiada soalan mengenai kolaborasi akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, hari ini.
Anwar berkata Ahmad Zahid turut menunjukkan pendirian positif berhubung usaha membawa laporan berkenaan kepada pengetahuan umum.
Beliau berkata kandungan RCI Tabung Haji itu wajar didedahkan kerana ia membabitkan isu serius melibatkan amanah serta tadbir urus institusi.
Krisis kewangan TH bermula akibat ketidakpadanan aset serta liabiliti sebelum pelan pemulihan berskala besar dilaksanakan.
Susulan itu, RCI ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai isu sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.