4 OGOS : Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan bekas anggotanya, Staf Sarjan Vegeneswaran Kaneson ditamatkan perkhidmatannya selepas didapati positif dadah dan sudah dibayar semua tunggakan gaji tanpa bantahan.
Melalui satu kenyataan hari ini, Cawangan Komunikasi Strategik TDM menegaskan pihaknya tidak mengingkari keputusan mahkamah seperti didakwa bekas anggota tersebut.
“TDM mengambil maklum video yang tular di aplikasi Tik Tok Nambikkai pada 23 Julai 2026 berhubung dakwaan bekas anggota Tentera Darat, Staf Sarjan Vegeneswaran a/l Kaneson, bahawa TDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kerajaan Malaysia mengingkari keputusan Mahkamah Rayuan serta beliau masih berstatus sebagai anggota yang sedang berkhidmat.
“TDM menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak sekali-kali membatalkan sabitan tatatertib terhadap bekas anggota yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine melalui ujian saringan yang disahkan oleh Jabatan Patologi Hospital Kepala Batas.
“Susulan keputusan tersebut, TDM telah mengambil tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 dengan menamatkan perkhidmatan beliau secara biasa iaitu tempoh perkhidmatan sepenuh masa (18 tahun),” menurut kenyataan itu.
Kata TDM, kesemua tunggakan gaji, elaun dan faedah yang layak sudah dibayar dan diterima Vegeneswaran tanpa sebarang bantahan atau pertikaian pada ketika itu.
Selain itu, TDM menegaskan status seseorang anggota tentera ditentukan undang-undang serta rekod perkhidmatan dan bukannya dengan pemilikan kad pengenalan tentera.
“Kad MyTentera tersebut masih berada dalam simpanan kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan oleh beliau.
“TDM turut menegaskan bahawa mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lagi berhak mengemukakan dirinya sebagai anggota Tentera Darat.
“Sebarang penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam tentera bagi menggambarkan bahawa seseorang masih berstatus anggota yang sedang berkhidmat boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan tertakluk kepada siasatan serta tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” menurut TDM.
Dalam kenyataan sama, TDM turut menegaskan pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah serta melaksanakan semua tindakan mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Justeru itu, TDM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi ATM.