14 OGOS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Rabu lalu.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Fadillah kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.
“Alhamdulillah, Datuk Fadillah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu lalu bersamaan 12 Ogos 2026,” menurut kenyataan itu.
Pejabat TPM memaklumkan, Fadillah sekeluarga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional sepanjang proses rawatan.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak kementerian, masjid-masjid, surau-surau, rumah ibadat, agensi kerajaan/swasta, NGO-NGO, sanak-saudara, sahabat handai serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau,” menurut kenyataan itu.