18 OGOS : UMNO menolak dakwaan ‘tikam belakang’ terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu .
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan tiada perjanjian kerjasama politik melibatkan Barisan Nasional (BN) dan PH di peringkat negeri.
Justeru itu katanya, tindakan UMNO-BN mengambil langkah strategik di peringkat negeri bagi memastikan kemenangan tidak sepatutnya dipertikaikan.
“Apabila kita ingin menang dan tidak mahu kalah, langkah strategik diambil. Kita tidak melanggar sebarang perjanjian di negeri, kenapa perlu dipertikai? Sepatutnya mereka tidak pertikai perkara itu.
“Pucuk pimpinan perlu memilih kaedah untuk kemenangan yang maksimum, bukan kekalahan. Kalau kita tidak mengambil langkah strategik di Negeri Sembilan, BN kalah.
“Mana parti yang ingin kalah? Itu langkah strategik yang diambil untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026, hari ini.
Selain itu, beliau juga menekankan bahawa langkah strategik itu tidak sepatutnya dianggap sebagai tikam belakang.
“Sebenarnya istilah langkah strategik ini tidak boleh disebut tikam belakang. Langkah strategik yang diambil untuk survival parti.
“Mereka juga membuat langkah strategik untuk survival parti,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata perihal berkait keputusan PRN dan kerjasama politik berkenaan mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos ini.
Dalam pada itu, Ahmad menegaskan pucuk pimpinan berulang kali menyatakan BN akan kekal bersama PH sehingga akhir penggal.
“Perjanjian kita yang penting di Pusat dan kita memenuhi perjanjian itu.
“Presiden dan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmd Zahid Hamidi) juga berulang kali menyatakan bahawa kita akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal kerana kita telah menandatangani perjanjian,” katanya.