18 OGOS : Pegawai polis trafik Hatyai diarah lebih teliti dalam menjalankan tugas susulan dakwaan peserta konvoi dari Malaysia dikenakan saman atas kesalahan lalu lintas di Thailand.
Melalui hantaran di Facebook Balai Polis Hatyai, pegawai trafik turut diingatkan supaya memberi perhatian khusus terhadap pemeriksaan melibatkan pelancong.
“Pegawai polis trafik diingatkan supaya lebih teliti ketika memeriksa lesen memandu, dokumen pendaftaran kenderaan serta fakta berkaitan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.
“Dalam masa sama, pegawai diminta menerangkan kesalahan atau peruntukan undang-undang kepada pelancong dengan cara yang sopan dan jelas bagi mengelakkan salah faham ketika proses penguatkuasaan dijalankan,” menurut hantaran itu.
Arahan itu dikeluarkan susulan pertemuan Ketua Polis Hat Yai, Kolonel Polis Macha Kaewthong dan Inspektor Trafik Balai Polis Hatyai, Leftenan Kolonel Sittichai Pradup, hari ini.
Menurut arahan itu, pegawai perlu menjalankan siasatan lanjut atau mendapatkan pandangan pegawai atasan sebelum mengambil tindakan sekiranya terdapat keraguan terhadap sesuatu kes.
*Foto: Facebook Balai Polis Hatyai