3 OKT : Dalam proses memilih calon pilihan raya, ada nama yang mungkin diangkat tetapi tidak semua berakhir di kertas undi.
Atas sebab itu, Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin meminta individu yang namanya dicadangkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya berlapang dada dan menerima apa sahaja keputusan pimpinan.
Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, senarai calon bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tangga Batu dijangka dimuktamadkan dan diserahkan kepada pimpinan negeri minggu ini.
Katanya, setiap DUN akan mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan bagi Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.
“Kalau misal kata tidak dapat, janganlah marah. Ini bukan keputusan daripada saya, akhirnya kita berserah kepada ALLAH SWT.
“Jadi saya harap mereka yang namanya dibawa bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan kerana penentuan calon akhirnya dibuat di peringkat pimpinan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bersama warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Sungai Udang, hari ini.
Rais yang juga penyandang kerusi DUN Paya Rumput berkata, parti sudah mengenal pasti beberapa nama yang dilihat sesuai berdasarkan penglibatan mereka bersama masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, pemilihan turut mengambil kira kriteria ‘winnable’ yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk calon yang dikenali serta aktif di lapangan.
“Setakat ini kita tidak bawa nama dari luar Bahagian Tangga Batu. Semua yang dikenal pasti adalah daripada kalangan anggota bahagian kita sendiri,” katanya.
Rais berkata, golongan muda turut diberi ruang untuk diketengahkan sebagai antara nama yang dipertimbangkan.
“Memang ada dalam kalangan orang muda. Kita tahu itu tanggungjawab saya. Saya juga ketika berusia muda diangkat oleh pemimpin iaitu Datuk Seri Rauf dan pusat.
“Jadi apabila tiba waktu saya diberi sedikit ruang untuk memilih daripada bawah, sudah tentu kita akan bawa,” katanya.