KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
Jemaah Menteri semalam telah meluluskan 17 syor penambahbaikan yang terkandung dalam Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.
2. Sebagai langkah segera (Quick Wins), enam tindakan akan diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sedia ada, iaitu:
i) Saringan bersasar berasaskan risiko – mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko;
ii) e-Vetting dan kawalan akses – meneliti dan memperkukuh prosedur tapisan keselamatan terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad;
iii) Saringan dadah terhadap personel penerbangan – memperkukuh pelaksanaan saringan pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan;
iv) Meningkatkan kehadiran nyata pasukan keselamatan – meningkatkan kehadiran nyata (omnipresence) anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan. Langkah ini turut disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2, KLIA;
v) Penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan – memperkukuh perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui National Immigration Command Centre (NICC); dan
vi) Penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT – menubuhkan dengan segera Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha MOT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.
3. Enam langkah segera ini merupakan keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara. Pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan sederhana dan panjang dimana fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi.
4. Pelan tindakan ini dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara. KLIA akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan ini sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu-pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.
5. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan komited memastikan setiap syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan. Langkah ini akan memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN