PM ke Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27
KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada 21 dan 22 Ogos 2026 bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (ALC-27).
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Rundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Semasa Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27, Perdana Menteri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menilai kemajuan kerjasama dua hala sedia ada, membincangkan isu-isu yang tertunggak, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian instrumen dua hala.
Lawatan dan Rundingan Pemimpin Tahunan ini mencerminkan keutuhan hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, selain memperkukuh komitmen dan usaha bersama dalam mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala dan perkongsian strategik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Pada tahun 2025, Negara Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-43 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar di kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai RM5.86 bilion (AS$1.37 bilion). Jumlah eksport ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 bernilai RM4.20 bilion (AS$0.98 bilion), manakala jumlah import dari Negara Brunei Darussalam bernilai RM1.66 bilion (AS$0.39 bilion). Dalam tempoh Januari sehingga Jun 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM2.38 bilion (AS$0.6 bilion).
KEMENTERIAN LUAR NEGERI