26 OGOS : Kerajaan mengarahkan sebarang tindakan disiplin yang dikenakan pihak universiti terhadap mana-mana mahasiswa kerana menyuarakan pandangan atau kritikan ditarik balik berkuat kuasa, esok.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“Kalau ada pun peraturan HEP (Hal Ehwal Pelajar) dan sebagainya, itu semua harus dilonggarkan serta-merta. Kalau ada beberapa tindakan disiplin yang tidak melanggar peraturan jenayah melibatkan polis harus dilepaskan serta-merta.
“Kalau ada mana-mana mahasiswa dikenakan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka termasuk terhadap Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka harus dilepaskan sepenuhnya. Kalau kes polis itu, biar polis tangani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum itu yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam ini.
Anwar turut menekan perkara itu sekali lagi ketika menjawab soalan peserta yang membangkitkan perkara tersebut.
“Malam ini saya kata, apa-apa tindakan yang melanggar disiplin…kalau dia pergi pecah bangunan undang-undang mesti dikuat kuasa. Jangan salah faham.
“Undang-undang jenayah harus berjalan. Anda boleh bercakap bebas…betul. Tetapi kalau masalah dengan polis, saya kena selesaikan dengan polis dulu. Ini (penarikan tindakan) melibatkan sebarang tindakan oleh universiti,” katanya.
Pada sesi sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa kekangan yang menghalang.
“Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain. Kita boleh berbahas dan tuntut anak-anak mahasiswa itu mempertahankan hujah mereka tetapi mesti dijadikan gelanggang universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan segar. Beri ruang kepada mereka,” katanya.
Namun katanya, meski diberi kebebasan, tidak bermakna mahasiswa boleh bertindak melanggar undang-undang termasuk merosakkan harta benda awam.
“Anda boleh suarakan pendirian anda, tetapi anda tidak boleh mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam.
“Jangan salah faham, bila kita kata kebebasan itu, nak suara, nak beri pandangan atau hantar memo. Itu dialu-alukan,” katanya.